Selamat sejahtera.
Alex yang pernah Hawa sayangi, maafkan Hawa atas bingkisan ini. Sejak semalam, Hawa amat merindui Alex, dan hanya nota-nota ini yang dapat membuatkan Hawa rasa dekat dengan Alex. Alex, surat Alex baru sahaja Hawa terima tengahari tadi. Dalam surat, Alex memberitahu akan pulang ke Malaysia pada hujung bulan ini nanti. Maaf Alex, Hawa tidak akan membalas warkah Alex pada kali ini. Anggaplah surat Alex tidak sampai dengan selamatnya ke tangan Hawa.
Walau bagaimanapun, Hawa ingin mengucapkan terima kasih kerana masih mengambil berat dan bertanya khabar tentang diri Hawa, walaupun Hawa tahu, telah berapa tahun Alex menyepi dari kehidupan Hawa. Hawa akur dengan ketentuan Ilahi bahawa hubungan kita sudah tidak sama lagi seperti dahulu. Namun begitu, satu perkara yang tidak pernah berubah dan masih sama, walaupun perkara ini tidak pernah Hawa cuba berterus terang pada Alex. Sebenarnya Alex tetap segar dalam ingatan dan diri Hawa. Hawa tidak pernah melupakan Alex. Tapi Hawa tidak mampu melakukan apa-apa selain hanya berdiam diri dan berdoa moga ada kebahagiaan buat diri Hawa suatu hari nanti.
Dipisahkan oleh jarak, juga situasi keadaan yang telah berbeza dari zaman kita dibangku sekolah. Kini Hawa merasakan Hawa telah kehilangan segala-galanya yang indah. Hawa amat merindui zaman kanak-kanak kita. Ketika masih di bangku sekolah rendah, Alex selalu datang untuk bermain teng-teng bersama Hawa. Kadang-kadang Alex diejek oleh budak-budak lelaki kampung kerana Alex bermain dengan kami budak perempuan. Namun Alex tidak pernah menghiraukan ejekan tersebut. Kata Alex, Alex suka berkawan dengan Hawa.
Hawa juga masih ingat, setiap kali Hawa mengikut Ayah menghantar kelapa ke kedai bapa Alex, Uncle Wang, Hawa pasti inginkan gula-gula yang terdapat di kedai bapa Alex. Ada masa ayah akan membelikan Hawa gula tersebut, tapi bila ayah tidak punyai wang, ayah akan marah dan meninggalkan Hawa menangis sendirian dihadapan kedai bapa Alex. Setiap kali Hawa menangis begitu, Alex akan datang memujuk Hawa dan memberikan gula-gula tersebut dengan percuma. Kata Alex, Alex tidak suka tengok Hawa menangis. Nanti bila Hawa sedih, Hawa sudah tidak mahu lagi bermain teng-teng dan Alex tidak punyai kawan untuk ajak bermain diwaktu petang.
Kita melalui zaman kanak-kanak dengan penuh akrab. Hawa masih ingat, setiap petang Alex akan datang bertandang di rumah Hawa untuk menghabiskan masa lapang bersama di Sungai tidak berapa jauh dari rumah Hawa. Alex suka memancing. Dan Hawa akan bantu Alex meletakkan umpan di mata kail Alex. Kadang-kadang bila bosan, kita bermain congkak bersama sambil menunggu kail Alex terkena umpannya. Alangkah indahnya zaman kanak-kanak kita kan Alex?
Masa terus berlalu. Kita mula menginjak ke zaman remaja. Hawa dan Alex bersekolah di sekolah yang sama. Tetapi Alex budak kelas pandai. Hawa hanya budak kelas sederhana. Walaupun begitu, kita tetap rapat. Masih ingatkah Alex bahawa setiap kali balik sekolah, Alex pasti akan menunggu Hawa dipintu pagar untuk kita sama-sama pulang ke rumah. Sepanjang jalan, Alex akan bercerita tentang subjek Biologi yang Alex pelajari dikelas. Hawa hanya mendengar, kerana Hawa tidak paham dan tidak belajar Biologi. Hawa belajar sastera. Alex bercerita tentang impian dan cita-cita Alex. Kata Alex, Alex ingin menjadi seorang doktor yang berjaya. Hawa kagum dengan semangat dan kesungguhan Alex untuk berjaya seperti yang diimpikan.
Walaupun Alex pandai, tapi Alex tidak pernah kedekut ilmu. Alex akan membantu Hawa membuat latihan dalam Matematik setiap kali ada kerja rumah yang dibekalkan oleh cikgu. Alex memang pandai matematik. Alex selalu beri semangat untuk Hawa terus rajin belajar. Tidak cukup itu, Alexlah yang Hawa cari bila masa Hawa berada di dalam suatu keadaan yang amat tertekan. Kerana kesempitan hidup, ayah dan emak selalu bergaduh. Hawa luahkan segala kesedihan hati Hawa pada Alex. Alex selalu menenangkan hati Hawa dengan nasihat-nasihat agar Hawa terus bersabar dan menjadi anak yang baik. Bukan itu sahaja, kadang-kadang Alex bertindak menjadi sebagai abang kepada Hawa, bila masa diri ini diganggu oleh sekumpulan budak-budak nakal di kampung. Hawa benar-benar rasa dilindungi. Tanpa Alex, Hawa tidak rasa Hawa akan menjadi sekuat ini, untuk melalui kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan ini.
Selepas tamat SPM, dalam perjalanan pulang, kita singgah di sungai yang seringkali kita habiskan masa bersama ketika kecil dahulu. Di situ, di bawah pokok Ketapang yang rendang, Alex mula membicarakan tentang sesuatu yang Alex sendiri keliru. Alex katakan pada Hawa sebenarnya sebagai seorang teman sepermainan sejak kecil, Alex memang sayangkan Hawa. Tetapi dalam hati Alex, sebenarnya Alex merasakan bahawa Alex menyayangi Hawa lebih dari seorang kawan. Alex cintakan Hawa. Alex bertanyakan Hawa, adakah Hawa juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Alex?. Tergamam seketika mendengar bicara Alex tetapi saat itulah antara hari yang paling gembira buat diri Hawa.
Hawa akui, Hawa juga cintakan Alex. Tetapi agama, adat dan keturunan kita berbeza. Selama ini, kita tidak pernah fikirkan tentang perbezaan itu antara kita. Ternyata kita memang jauh berbeza. Kita semua sedar akan hakikat itu tetapi Alex menyatakan keinginannya untuk memeluk Islam. Alex ingin menjadi Adam kepada Hawa. Sanggupkah Alex untuk melupakan semua adat dan tradisinya hanya kerana cinta?
Hawa amat terharu bila mendengar Alex ingin menjadi Adam. Namun Alex meminta Hawa memberi sedikit masa kepada Alex untuk memeluk agama suci Hawa. Alex juga menyatakan akan cuba yang terbaik untuk menyakinkan mama dan bapa Alex tentang Hawa. Alex mengakui bahawa Hawalah wanita pilihan hati Alex selama ini. Mulai saat itu, Hawa sudah mula berangan untuk memiliki ‘Adam’ dalam diri Hawa. Hawa juga amat mencintai ‘Adam’, dan berjanji akan terus mencintai ‘Adam’ sepenuhnya. Panas yang diharapkan hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Alex dapat tawaran belajar ke luar negara dalam jurusan kedoktoran. Auntie Teresa dan Uncle Wang amat berharap agar Alex menerima tawaran tersebut. Masih segar diingatan Hawa, mama dan bapa Alex sanggup datang ke rumah Hawa di tengah malam untuk berjumpa Hawa agar dapat menasihatkan Alex supaya pergi belajar dan menerima tawaran ke luar negara tersebut. Kata mereka, Alex keras kepala tidak mahu pergi belajar ke sana. Hanya Hawa sahaja yang rapat dengan Alex dan boleh memujuk Alex.
Sebenarnya amat berat untuk Hawa berbuat begitu tetapi Hawa terpaksa. Hawa tau itu soal masa depan Alex. Bukankah Alex mempunyai cita-cita yang tinggi? Hawa cuba memujuk Alex. Alex kata Alex tidak mahu jauh dari Hawa, dan hanya mahu belajar di universiti tempatan. Setelah puas memujuk, Hawa memberi kata dua kepada Alex. Jika benar Alex mahu berkahwin dengan Hawa, Alex perlu melanjutkan pelajaran terlebih dahulu ke luar negara. Mendengar kata-kata itu, akhirnya Alex bersetuju untuk belajar ke luar Negara. Masih tergiang lagi di telinga Hawa tentang lafaz Alex, bahawa Alex sanggup ke sana demi cinta Alex pada Hawa. Demi cinta ‘Adam’ pada Hawa!. Tahukah Alex bahawa sebenarnya Hawa merasa cukup terseksa untuk melepaskan Alex pergi ke sana tapi Hawa tabahkan hati dan meletak seribu harapan di dada agar suatu hari nanti, Alex akan pulang ke pangkuan Hawa sebagai ‘Adam’ Hawa.
Alex, masih ingatkah kamu pada peringkat awal ketika kamu baru tiba di luar negara, kita sering berutus surat. Di setiap ayat surat Alex, tak lekang perkataan sayang dan rindu Alex untuk Hawa. Surat-surat itulah yang terus memberi semangat pada Hawa agar meneruskan kehidupan ini tanpa Alex di sisi. Hari-hari Hawa baca surat kiriman Alex untuk lepaskan rasa rindu yang mencengkam di dada ini. Hati ini telah tiada disini, telah Alex bawa jauh di perantauan sana bersama cinta Hawa.
Namun, masuk 6 bulan pertama, Hawa dapati kita sudah mula jarang berutus surat. Ketika itu, Hawa mula rasa hilang arah. Hawa pujuk diri Hawa bahawa Alex sudah mula sibuk dengan belajar. Mungkin sebab itu Alex sudah jarang mengirimkan khabar berita untuk Hawa. Walaupun Hawa akui, kadang-kala Hawa mula sangsi dengan Alex. Adakah kerana Alex sudah berjumpa wanita lain di sana?.
Hawa cuba mengirimkan surat untuk Alex. Dalam lima enam keping surat yang diutuskan, hanya satu dua saja yang berbalas. Hari-hari Hawa tunggu surat dari Alex. Setiap hari Hawa bertanyakan Abang Mat Posmen samada hari tersebut ada surat untuk Hawa atau tidak. Hawa menunggu dengan penuh harapan. Hawa percayakan Alex, dan Hawa yakin dengan cinta Alex. Hawa yakin dengan cinta ‘Adam’ kepada Hawa. Tapi Alex tetap membisu. Sampai hati Alex buat Hawa begini. Tidakkah di hati Alex merasa getaran rindu seperti mana yang Hawa rasa? Dan tidakkah Alex terfikir tentang wanita kampung ini yang sentiasa menanti Alex dengan penuh rasa cinta?. Janji Alex Hawa pegang dengan harapan yang menggunung di dada. Tapi tidak tersangka, Alex yang Hawa percaya selama ini sanggup memungkiri janji kita. Hawa benar-benar kecewa.
Ye, benar. Hawa sudah mula putus harapan. Hawa tahu bahawa Hawa sudah kehilangan Alex sebenarnya dalam kehidupan Hawa. Hawa sudah kehilangan ‘Adam’ yang Hawa impikan. Cukup sukar menerima kenyataan ini. Tapi mahu tidak mahu, Hawa perlu berdiri dengan sendiri. Melalui kepayahan ini secara sendiri, dengan rasa rindu yang penuh bersarang di dalam hati, walaupun terpaksa berpapah, dan kadang-kala terjatuh juga. Hawa perlu kuatkan hati dan cuba bangun dari kesakitan ini.
Bila rindu, Hawa akan menulis nota ini untuk Alex, walaupun tahu nota ini hanya sebagai simpanan peribadi Hawa sahaja. Bila Hawa sedih, Hawa akan pergi ke sungai tempat kita selalu bermain-main ketika kecil dahulu. Sungai yang menyaksikan luahan rasa cinta Alex pada Hawa. Sungai yang juga menyaksikan bahawa Hawa juga sebenarnya cintakan Alex. Namun itu semuanya sudah tidak lagi bermakna, walaupun air sungai tetap sama tidak berubah. Air sungai tetap mengalir deras selaju air mata Hawa. Hawa sungguh kecewa. Dada ini terasa amat sakit, terutamanya bila mengenangkan saat-saat indah yang pernah Hawa lalui dengan Alex.
Tahukah Alex bahawa sebenarnya hari-hari hati Hawa menangisi kesakitan ini. Walaupun Hawa tahu, air mata ini tidak dapat merubah apapun yang telah ditakdirkan untuk perjalanan kehidupan Hawa. Sehingga kini, Hawa masih tertanya, apa salah Hawa sehingga Alex tergamak buat Hawa sebegini?. Membiarkan Hawa sendiri dengan cinta Alex yang entah sudah hilang ke mana. Begitu mudah Alex berubah dan memungkiri janji. Tidak pernahkah Alex rindu keindahan yang pernah kita lalui bersama sejak dari kecil lagi? Tidak sayang lagikah Alex pada Hawa?.
Berat sungguh dugaan untuk Hawa. Apa yang Hawa jangkakan hampir betul. Semalam Hawa ada pergi ke kedai bapa Alex, Uncle Wang. Mama Alex ada memberitahu yang Alex ade menelefonnya baru-baru ini, katanya ingin pulang ke Malaysia sedikit hari lagi. Auntie Teresa membebel bising tentang sikap Alex yang jarang menghantar khabar untuk keluarga di Malaysia. Selain itu, Auntie Teresa cuba bertanya pada Hawa tentang siapa wanita mat salleh yang ada di hati Alex sekarang?. Hawa sungguh terkejut mendengar berita itu. Kata Hawa, Hawa tidak tahu kerana Alex dan Hawa sudah lama tidak berutus surat lagi. Kata auntie Teresa lagi, dia tahu berita tentang wanita mat salleh itu dari Eric, sepupu Alex yang turut sama belajar di sana. Walau bagaimanapun, dia tidak suka perhubungan Alex dengan wanita asing itu kerana dia telahpun mempunyai calon untuk dikahwinkan dengan Alex sekembalinya Alex pulang ke Malaysia nanti. Auntie Teresa mahu Alex mengkahwini Mei Ling, sepupu jauh Alex dari China.
Mendengar bicara mama Alex, benar-benar telah buat Hawa patah hati. Hawa sungguh kecewa mendengar berita yang cukup menghiriskan perasaan itu. Benarkah Alex? Benarkah Alex sudah ada wanita lain dalam hati Alex?. Dan jika tidak seperti yang dinyatakan oleh Eric, bagaimana dengan Mei Ling?. Hawa benar-benar telah tewas. Hawa cintakan Alex, tapi mengapa Hawa tidak diberi peluang untuk memiliki Alex?. Bagaimana dengan hati Hawa Alex?. Hati Hawa yang pernah diberi harapan oleh Alex suatu masa dahulu. Hati ini telah hancur berkecai. Sebenarnya telah lama hancur sejak Alex mula menjauhi Hawa sedikit masa dahulu. Kini Hawa rasa jiwa Hawa sungguh kosong, perasaan Hawa sungguh terluka.. Harapan Hawa punah. Kehidupan Hawa seolah seperti burung yang telah patah sayapnya.. Hawa hanya mampu merintih pilu. Tiada siapa yang tahu tentang cinta Hawa pada Alex. Hanya Tuhan Hawa, hati Hawa, hati Alex, sungai yang mengalir deras, batu-batu sungai, pokok ketapang rendang di tepi sungai, pen dan kertas ini yang mengetahui bahawa Hawa amat menyintai Alex.
Kini setelah 5 tahun diri ini sepi dari perhatian Alex, akhirnya tanpa terjangka muncul juga surat Alex yang tidak lagi Hawa harapkan. Persoalannya di sini, untuk apa Alex mengirimkan khabar lagi setelah Hawa telah rasa kehilangan Alex sepenuhnya dalam diri Hawa? Untuk apa Alex mengambil berat tentang diri Hawa lagi setelah selama ini Alex telah meninggalkan Hawa menjalani kepayahan hidup dengan penuh merana disebabkan harapan cinta Hawa pada Alex?. Cukuplah Alex, Hawa ingin melupakan segalanya, walaupun Hawa tahu, tidak semudah itu untuk lupakan Alex dalam hati Hawa.
Hati ini benar-benar telah disakiti. Pakkallah Hawa hanya ada sekeping hati. Jika Hawa punyai kepingan hati yang lain selain hati yang telah rosak ini, sudah lama Hawa lemparkan jauh-jauh hati yang telah hancur ini. Hati yang sekeping inilah yang mengajar Hawa tentang erti kehidupan yang sebenar.
Maafkan Hawa, Alex di atas segalanya. Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup Hawa. Hawa telah lama memaafkan Alex. Sedikitpun Hawa tidak menyimpan dendam pada Alex. Apa yang Hawa mahu, moga Alex bahagia mengejar kehidupan yang Alex impikan. Kebahagiaan Alex memberi suatu erti yang besar dalam hidup Hawa. Hawa sayangkan Alex, dan Hawa sanggup berkorban demi kebahagiaan Alex. Hawa redha dengan ketentuan Ilahi. Hari-hari Hawa berdoa agar Hawa dapat melupakan Alex dari dalam diri Hawa. Setiap waktu juga Hawa bermohon pada Yang Kuasa agar Hawa terus diberi kekuatan dan ketabahan untuk melalui dugaan ini. Dan hampir setiap waktu, Hawa memujuk hati ini bahawa Alex bukanlah di takdirkan untuk Hawa. Hawa juga pasrah dan yakin setiap yang berlaku ini sudah pasti ada hikmahnya.
Hawa tahu, tidak lama lagi Alex akan pulang, dan Hawa ingin sangat Alex tahu bahawa Hawa tidak pernah mengharapkan kepulangan Alex dalam diri Hawa lagi. Dan yang pasti, kepulangan Alex bukanlah sebagai Adam kepada Hawa.... end