~Selamat Datang Ke Dunia Penulisan Ku~

Aku suka menulis, walaupun bukanlah seorang penulis yang profesional. Dengan menulis, aku rasa begitu tenang. Minat menulis telah wujud dalam diri sejak ku di bangku sekolah lagi. Kebanyakkan penulisan dalam blog ini adalah cerita-cerita koleksi peribadi, cerita pengalamanku sendiri, Persepsi diriku sendiri dan sekadar berkongsi info dengan rakan pembaca yang lain. Turut dimuatkan dalam blog ini lagu-lagu kegemaranku. Selamat Datang ke Dunia Penulisan Mawar Aziz. Terima kasih atas sokongan kepada semua penyinggah di blog yang tak seberapa ini. Selamat Membaca!


Monday, 31 October 2011

~Hanya di Mercu~


Ni encik Hubi kalau tengok aku asyik update blog, pasti dia bising.. Dia kata aku ni 'tak belajau, dok main blog jer'. huhuhu.. sorry ye en hubi.. 10 minit je sayang. Pasni saya baca buku k! Janji :).. hehehe..

Saja nak menulis something, org kata warm-up before nak concentrate study jap lagi. Walaupun kuiz lagi 2 minggu, banyak gak subjek nak kena cover termasuk chapternya yang banyak nak kena baca. Huhuhu.. bukan senang yek rupanya nak belajar nie.

Semester ni dah masuk sem 3. Walaupun pointer teruk hampir hancus.. insya-allah azam sem ni, saya nak buat yang terbaik. Last sem mungkin jiwa tak tenang. Banyak sangat konflik. Dalaman + luaran. Sekarang rasa OK sikit.. dan dapat beri perhatian lebih sikit kat buku-buku INED nie. hehehe..

Syukur sangat dah sampai tahap ni. Kalau di tengokkan balik gambar kawan-kawan masa sem 1 & 2 dulu,sekarang ramai yang dah tak ada. Yang dah dismiss lain, yang dah tarik diri tak sanggup teruskan study lain.. hmm.. dah tinggal sikit je dah kawan e-pjj ku nie. Yelah, mungkin bahagian mereka sehingga takat tu ajer. Walau bagaimanapun, aku doakan moga kawan-kawan yang dah tak sama kami lagi dalam meneruskan perjuangan ini akan tetap berjaya dalam lapangan mereka yang lain. Insya-Allah. 

Bila pikir balik, sebenarnya susah gak jadi pelajar EPJJ ni. Banyak komitmen. Terkejar-kejar. Masa tak cukup, and always study last minute jer. huhuhu.. Bila tengok pointer aku yang hampir nak tergolek last sem, rasa macam nak putus asa je. Selamat en hubi banyak bagi galakkan. Aku nak juga ada degree, master macam kawan-kawan lain yang dah berjaya. Bila tengok banyak kawan-kawan dah maju ke hadapan, semangat nak berjaya macam mereka terus berkobar-kobar kembali.

Tak apa, tak nak patah semangat. Aku akan terus berusaha sehingga berjaya. itu janji aku pada diri sendiri. Kadang-kadang tu, teringin gak nak ada title DR kat depan nama aku. Hmm.. Matching tak? "DR. MAWAR AZIZ". Macam best je bunyiknye kan?. hikhikhik..

Isk.. lama lagi nak sampai tahap tu. Insya-Allah, moga Allah makbulkan juga hajatku suatu hari nanti. Amin

Oklah, nak pulun baca buku ni! tata blog, tata FB, welcome Modul INED :)

Masa presentation part 1 dulu

Tetiba nak praktiks mandarin. Ta shi wo de pengyou. :)


My best partner dlm study group aku: Pn Ayu Zahrina

Dari 9 orang rakan group aku, kini hanya 5 yang masih meneruskan perjuangan ini. 

Friday, 28 October 2011

Kisah Diri di sebalik Hujan & Pelangi


Dah dua hari, suasana petangku di temani oleh pelangi petang yang indah. Dalam kehidupan ni, kita biasa dengar pepatah yang berbunyi "Mengapa Allah turunkan hujan? sebab selepas itu Allah nak berikan kita pelangi".  Pepatah ini biasa kita gunakan tika diri dalam kesedihan, juga sebagai ayat untuk memujuk hati, atau tika diri sedang 'mencari kekuatan diri'.

Jika kita melihat balik pada pepatah itu, 'hujan' diumpamakan sebagai kesedihan atau dugaan manakala pelangi umpama kebahagiaan/kegembiraan. Banyak juga antara lagu-lagu yang mengaitkan hujan sebagai menceritakan emosi kesedihan Bukan sahaja lagu dalam bahasa melayu, malah englishpun ada. Aku pasti dalam bahasa lain pun ada gak. Hujan juga ada digunakan dalam lagu kanak-kanak.

Sebenarnya hujan ini istimewa. Mungkin simboliknya lebih menjurus kepada kesedihan, tapi pernah tak tahu.. dengan hujan, kadang-kadang kita rasa diri akan lebih kuat. Pernah tak dengar ayat ni dalam english "I love to walk in rain because no one knows that i am crying".  Selain itu, just untuk share melalui pembacaanku berkaitan hujan "Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorangpun yang dapat menahannya; dan apa saja yang ditahan oleh Allah maka tidak seorangpun yang sanggup melepaskannya sesudah itu. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (QS. Fathir: 2). Sebahagian ulama seperti penulis tafsir Al Jalalain mengatakan bahwa rahmat yang dimaksudkan di sini adalah rizki dan hujan. Bacaan selanjutnya boleh pergi ke web: http://peribadirasulullah.wordpress.com/2011/10/08/keimanan-berkaitan-dengan-nikmat-hujan/. Tengok. Betapa hebatnya hujan dengan kekuatannya yang tersembunyi sebenarnya dalam kehidupan ini.

Bagaimana dengan pelangi? Semua orang tahu pelangi tu cantik dan penuh ngan warna warni. Ia memiliki  7 warna iaitu merah, jingga, kuning, hujau, biru, indigo dan ungu. Sebagai manusia biasa, pastinya kita mengimpikan hidup ini penuh ceria bagaikan pelangi. 

Post ku kali ini adalah tentang "Kisah Diri di sebalik Hujan & Pelangi". Agak-agak korang, apa yang aku cuba maksudkan di sini?. Entahlah.. aku juga sukar nak mengertikan apa yang cuba sampaikan sebenarnya. Cukuplah kalau korang tahu bahawa aku jadi berpindah ke Kluang hujung bulan November ini. Perasaan ini cukup teruja untuk dekat ngan suami. Tapi ada sedikit gusar dan sedih untuk meninggalkan banyak perkara yang aku sayang di sini.  Antaranya adalah EMAK aku. Pasni dah kira jauh ngan emak. Kalau dulu hari-hari dapat jumpa emak, mungkin selepas ni, sebulan sekali kot. Entah.Wamwahualam.

Yang keduanya, pekerjaan aku. Aku akan menjawat jawatan baru di Kluang sebagai suri rumah tangga sepenuh masa. huhuhu. Suka tak suka, pengorbanan sebegini terpaksa aku lakukan jika aku nak dekat ngan suamiku. Khuathir juga. Bolehkan aku menjalani kehidupan di sana ngan baik?. Ya Allah, berilah petunjuk-Mu dan mudahkanlah segala urusanku. Amin

Pagi ni ada dah hantar 2 resume untuk minta kerja di Kluang. Satu tempat tu nak cari Eksekutif Pentadbiran. Task job dia yang aku tengok hampir sama seperti kerja-kerja yang aku buat sekarang ni. Insya-Allah dari segi kerja, aku confident aku boleh buat, cuma aku takut aku ni tak layak dari segi kelayakan pelajaran aku. Yelah, pengalaman ada, tapi kelayakan aku, tahap pelajaran yang aku ada adalah di bidang lain. Satu lagi kerja yang aku mohon tu just jawatan pentadbiran biasa-biasa aje. Berharap sangat sangkutlah at least salah satu dari pekerjaan yang aku mohon tu. Amin. Moga Allah murahkan rezekiku di sana. Insya-Allah.

Aisehman, hujan pun aku dah cerita, pelangipun aku dah cerita, kisah diri pun dah ulas.. sekarang masa untuk dengar lagu-lagu yang berkaitan dengan tajuk post pada kali ini. Aku lampirkan sekali 3 keping gambar pelangi yang sempat aku ambil semalam petang. 

Ok, jumpa lagi di post yang lain.





















Wednesday, 26 October 2011

JONGJAKARTA DALAM KENANGAN

Saje aku update blog aku ni dengan post lama aku dalam blog aku dulu. Selamat masih ada soft-copynya dari dalam email. Untuk kenang-kenangan. Gambar semuanya dah terhapus and hilang bersama lupusnya FRIENDSTER. Sayang sungguh. Tak ada langsung gambar kenangan. Anyway, sekarang tgh mohon jasa baik kawan-kawan kot2 mrk masih dok simpan gambar di Candi Brobudur. Dapat sekeping dua pun jadilah, kan. If ada, insya-allah, saya kan uploadnya di kemudian nanti.

~JOGJAKARTA~

Rasanye dah lama juga aku tak menulis di blog ni.. Bukan kerana kekurangan idea.. cuma kekurangan masa untuk menulis cerita-cerita  yang ingin di kongsi bersama teman2 serta pembaca blog ini. Namun hari ini, aku nak mengambil kesempatan untuk berkongsi pengalaman yang menyeronokkan ketika aku berada di kota Yogjakarta baru-baru ini (05.08.08 - 07.08.08),sementara kenangan ini masih 'fresh' di ingatan.

Akupun tak tahu nak gambarkan macamana bestnye Yogja ni. Adakah seronoknye di sebabkan oleh Candi Brobudur? (salah satu keajaiban dunia), atau di sebabkan oleh kerana time tue aku terasa sebagai jutawan? (jutawan rupiah lah), ataupun itu adalah pengalaman pertama aku 'solo', berjalan bujang (tanpa Naza & anak2) setelah usia perkahwinan kami hampir mencecah ke usia 5 tahun.. he.he.he.. Sori yek sayang Naza..Saje je tulis macam tue.. gurau2.. jangan mare.

Tapi memang bestlah.. Salah satu yang buat trip ini seronok pun sebab clique yang join group ni semuanye best2.. Mana taknye, aku seronok tengok gelagat Liza yang kaki shopping, Kak Amy yang petah bercerita itu dan ini, Zaima & suaminye yang sporting.. keletah Fatimah yang comel, ragam Shah yang selalu sakit perut, abang jai yang tetiba jadi "famous", kak Jun yang suka bergambar, En. Agus & wife yang kelakar, abang usop yang perasan macho, karenah waafa yang menghiburkan dan yang paling best.. Boss aku dalam masa 3 hari tue (Pn Herlina) tidak membebankan otak aku dengan kerja2 di pejabat. hahaha..

k.. bercerita pasal Yogja, actually aku memang kagum dengan Candi Brobudur tue.. memang cantik, dan rasa macam tak percaya dapat tengok dari dekat. Tapi aku malaslah nak cerita satu persatu pasal tempat ini. Korang check je lah nanti kat dalam friendster aku.. Insya-allah, aku akan upload beberapa photo yang menarik berkaitan tempat yang menjadi salah satu sejarah kebanggaan masyarakat di Yogja ini. Sekarang pun dalam proses pemilihan gambar untuk diupload.. sbb banyak muka2 aku yang candid dan kurang "cun" untuk tatapan umum. Moga adelah gambar aku yang elok2 sikit dalam kamera En. Hamidon.

"Harap dalam kes ini, En. Hamidon dari Hidayah Travel dapat memberi kerjasama dalam mempercepatkan untuk bagi kat kami gambar2 kami yang menarik kat Yogja tue yek.. wajah saya yang tak comel tu bolehlah delete.. tapi wajah kengkawan lain dari PEERS Consult ni yang buruk2.. jangan delete.. lagi saya mahu. Hehe.. Tq.."

Berbalik pada kisah di Candi Borobudur.. satu pengalaman yang tak boleh dilupakan adalah bila masa di kepung oleh peniaga2 jalanan yang ingin mencari rezeki di saner. Time tu, ramai peniaga-peniaga tu datang kat kita, dok nak melariskan barang2 jualan mereka.. Mula-mula tu takut juga. Rimas pun ade. Bak kata En. Hamidon, "dah macam selebriti la pulak".. tapi itu memang satu pengalaman yang tak dapat dilupakan. Bila sesekali teringatkan suasana di serbu peniaga jalanan itu, jika nak dibandingkan mereka yang berebut-rebut berniaga untuk menawan hati pelanggan untuk membeli barangan mereka, bersusah payah untuk mencari sesuap nasi, kadang2 aku rasa bersyukur sangat kerana dikurniakan kerja yang baik, dan sumber rezeki yang murah (mudah).. Alhamdulilla.. Tapi aku berpuas hati jugalah walaupun akhirnye terpaksa juga membeli barang dari salah seorang peniaga jalanan di Candi Borobudur itu. Puas hati selepas melihat air muka peniaga itu seolah-olah terasa
bersyukur sangat akhirnya bila aku sanggup membayar dia sejumlah 100,000.00 Rupiah untuk 6 helai t-shirt Candi Borobudur. Tak apelah.. aku beli tu pun dengan niat untuk menolong "bak" itu kerana Allah. Kasihan pun ada..

Antara lain aku nak kongsi di sini, adelah cerita tentang satu aktiviti group kami yang sangat menghiburkan. Malam kedua kami di Jogja, group kami di bawa ke satu padang di mana terdapatnye 2 pohon beringin di situ. Tak silap aku, tempat tu di Alun-Alun Selatan. (Kawan2, kalau saya salah.. please inform untuk diperbetulkan). Diringkaskan cerita.. (diambil dari bicara Pak Sofian - travel agent kami di Yogja).. Kepercayaan mereka di kedua-dua pohon beringin itu, kononye jarang sangat orang akan dapat berjalan lurus dan berjaya melewati tengah-tengah di antara kedua pokok-pokok itu. Kononnye, hanya orang yang jujur & hati bersih sahaja yang dapat berjalan lurus sehingga berjaya lalu di tengah2 ruang antara 2 pohon beringin itu. Rata-rata orang yang mencuba untuk berjalan ke situ (dengan keadaan mata tertutup) akan belok ke kanan, atau belok ke kiri.. (tidak berjaya berjalan lurus sehingga melewati pohon beringin tu) dan lebih teruk lagi berpatah balik ke
belakang. Hahaha.. Pengalaman dari kawan-kawan di PEERS memang kelakar.. Especially mereka2 yang terover confident seperti abang Jai & En. Agus.. semuanye membelok.. rasanye berbanding kawan-kawan yang lain.. aku "OK" sikit kot. Hampir2 lurus... Hahaha.. Kawan-kawan yang tak pernah pergi ke sana mungkin susah nak gambarkan keadaan yang di ceritakan ini kan. Tapi tak ape, jika nanti ade gambar-gambar kenangan pasal pohon beringin ini, korang boleh tengok kat friendster aku nanti. Ok

Pengalaman ketiga yang menyeronokkan adalah sewaktu aku bershopping sakan kat saner. Cam tak caya je, RM 400.00 (lebih kurang 1 juta rupiah lebih sikit sbb aku ade tukar lagi duit di sana) dapat dihabiskan dalam masa lebih kurang 6 jam sahaja.. Borong sakan.. sehingga berat beg aku menjadi 11 kilo lebih. Tapi seteruk-teruk aku berbelanja, Liza lagi dasyat.. walau bagaimanapun, aku kira puas hati dan rasa berbaloi.. aku gembira sangat bila semua barang yang aku angan2kan untuk beli sebelum sampai di sane, semuanya aku dapat. Aku dapat beli telekung yang bersulam2 dengan harga lebih kurang RM18.00 sahaja (bila di convertkan dengan duit Malaysia).. sedangkan kalau di Malaysia, telekung itu biasanye dijual dengan harga RM60.00 dan ke atas. Aku dapat beli kain batik, baju batik untuk putra-puteri aku, dan yang paling happy bila aku dapat beli CD instrumental (gamelan - jawa). Dan satu lagi barang yang aku tak sangka aku beli.. adalah baju kebaya siap.. memang
cantik, bersulam2.. dengan harga bila di convert "RM" dalam RM30.00 - RM40.00 sahaja. Alhamdulilla... bersyukur atas rahmat Ilahi & kenikmatan berbelanja yang di beri.

Antara perkara-perkara lain yang seronok di sane adalah bila dapat naik kereta kuda malam-malam ngan Liza, kak amy & kak jun.. pusing sehingga ke Alun-alun Utara di Yogja.  Selain itu juga, makanan kat saner pun "OK" walaupun ade yang terlebih pedas.. tapi memang kenyang lah.. Trip ini juga jadi lebih hibur & ceria kerana Wakil agent dari Yogja (lupa rekod di minda nama agencynye) yang kelakar.. iaitu Pak Sofian, Pak Agus (Not Agus Malai yek) and Pak Tommy.. Terima kasih banyak atas kerjasama yang diberi sepanjang kami di sana.. dan tak lupa juga wakil agent dari M'sia - En. Hamidon (Hidayah Travel) yang friendly.. terima kasih atas kerjasama yang diberi dan sentiasa memastikan semuanya berjalan dengan lancar & selamat.

Hmm.. rasanye dah penghujung penulisan ini. Di kesempatan ini juga, aku nak ucapkan terima kasih pada kawan2 PEERS yang sama-sama join trip ini.. korang memang "BEST".. untuk Chhoa & Che Enal yang tak turut serta trip ni, mungkin ade peluang yang lain nanti. Tapi saya yakin, kalau kalian ade, mesti lagi seronok trip ini kan.... Thanks also pada penaja (Directors PEERS Consult)...hehe.. Terima kasih daun keladi. Tahun depan, bawak jalan lagi!

Dan last sekali, Terima kasih banyak pada suami saya yang tersayang - En. Mohd Naza b. Zawawi, di atas keizinan dan kepercayaan yang diberi pada saya untuk turut serta mengikuti rombongan ini. Rasanya tanpa kebenaran awak, mawar tak akan dapat pengalaman Yogja yang cukup indah ini.. Thanks my dear.




BEIJING WITH LOVE




Lama dah tak asah bakat menulis. Rindu nak menulis. Idea banyak tapi nak menghasilkan penulisannya agak sukar. Come on Mawar Aziz!.. Release your tension dengan menulis.

Wo jiao Mei Gui he ta jiao Naja. Ta shi wo de xiansheng

Hmm.. Malam ni agak bosan. En Hubi baru saja pulang ke Kluang setelah 5 hari menghabiskan masa bersama di sini. Sunyi nye hati ini, Allah saja yang tahu. Bila mood dah tak ada tu, sure BUKU pun tutup lah. Tak ada mood nak baca buku. Hari ini “baca bukupun” nak cuti Deepavali gak..hehehe..
And now, aku nak flash back kenangan aku ke Beijing China pada 24 Jun 2011-27 Jun 2011 yang lalu. Kami pergi pada masa tu musim panas. So suasananya terasa lebih kurang sama aje macam Malaysia. Sebenarnya dari segi bandarnya, kalau tengok lebih kurang macam Kuala Lumpur gak. Sebelum ni aku bayangkan rumah-rumah tradisional macam aku selalu tengok kat you tube, tapi bila pergi, TOTALLY OUT dengan apa yang aku fikirkan.

Rakan seperjuangan yang bersama menjejaki Tembok Besar China pd 25 Jun 2011


Great Wall hen bang!

Yang jelas berbeza sudah pasti Tembok Besar China dan Forbidden City (Istana Larangan). Masa tu baru aku rasa aku betul-betul berada di bumi China. Hehehe.. Bila orang tanya aku, “how’s Beijing?”.. aku akan cakap “hmm.. boleh lah”. Hikhikhik.. No.. sekarang aku sudah mula merindui BEIJING. Mungkin hari tu aku tak rasa berapa istimewa sangat.. but now, aku ingin buat pengakuan ikhlas.. BEIJING satu tempat yang menarik dan punyai keunikannya tersendiri.


Beautiful Green
 Hmm.. antara yang unik adalah TEMBOK BESAR CHINA (GREAT WALL)itu sendiri..  Ia terletak di tempat yang dikelilingi gunung ganang yang menghijau. Cantik sungguh permandangan di situ. Yang kedua menarik di situ tentulah Istana Larangan itu sendiri. Dalam istana itu, ada pokok bongsai yang amat unik dan cantik.. benar-benar memukau pandangan mataku. Selalu tengok cerita china zaman dulu-dulu. Sekarang baru dapat lihat dengan jelas istana raja. Kagumnya dan sangat berbangga.


Wo de jia di Forbidden City

Seni dalam masjid
Antara lain lagi yang istimewa adalah masjid-masjid tua di sana. Subhanallah. Indah. Dalam masjid penuh ngan seninya yang tersendiri. Cantik dan istimewa. Masyarakat Islamnya juga baik dan menghormati kami sebagai pengunjung yang datang melawat dan tumpang bersolat di sana.

Lovely Mawar ~ Sweetnye!
Yang ini, memang aku suka bangat!! Hehhe.. tahu tak korang, BEIJING sebenarnya gunakan bunga MAWAR sebagai landskap yang menghiasi di sepanjang jalan rayanya. Wow! Bahagia sungguh melihat bunga Mawar di sana sini. Suka.. suka…

Mawar yang menghiasi jalan raya di Beijing

Landskap penyeri Beijing


Penyapu yg cute!
Hmm..ada gak keunikannya selain itu.. see.. pekerja kalau di Sepang Selangor, mungkin dia adalah pekerja Majlis Perbandaran Sepang. Cuba tengok.. apa yang uniknye?? Hehe.. Penyapunya.. hehe.. so cute..

6.15 pagi di Beijing
Hmm.. masa pulak,ketika ku pergi sana tu, Beijing cepat siang. Jam aku baru pukul 6.15pagi.. suasananya dah cerah ibarat jam 9.00pagi. tuk..tuk..tuk.. mengetuk kepala dengan pen. Erkk.. otak beku, idea hanya mampu bermain di fikiran.. tapi tidak mampu ditulis time ini. Apa kata, just get info my experience at Beijing melalui gambar-gambar yang aku post ni je yek! Check it out ~ tata~
~Eymie, Mawar, Aiza & Chia di Forbidden City~

Bongsai yg sangat unik & cantik dalam Istana Larangan!

Sapa model dalam gambar ni? Mawar, or Chhoa or botol sprite tu? So xn:p
Pok teh, emak, pakcik sulaiman, En Hubby, Pak cik Othman & Antalos :)

~Hubi & Eymie ~

Mawar & Kunci di Tembok Besar China

Ohh.. lepak di kedai yang ada makanan panggang tuutttt... (non-halal). Tak makan pun. Tumpang duduk je.

~Penulis & Suaminya yang amat dicintai ~

~Bangunan unik di Beijing~

MUTIARA CINTA

Next…  sementara menunggu Semester UiTM buka semula, aku terfikir untuk menaip semula koleksi-koleksi cerpen penulisanku sendiri yang kini hanya ada didalam bentuk hard-copy. Soft-copynya dah hilang, malah banyak juga koleksi penulisanku adalah ditulis secara manual, dalam erti kata lain ialah tulisan tangan. Mana tidaknya, zaman dulu-dulu mana ada computer. Hanya sebatang pena dan kertas kajang aje yang akan menemani aku untuk mengisi masa lapangku.

Sesekali aku berpeluang menaip koleksi cerpenku jika aku ke rumah kakak ketiga ku dulu. Tapi biasalah, selepas print, ntah kemana dah simpan file itu. Maklumlah, zaman dahulu, kepakaran aku menggunakan computer  baru di tahap 1.  

Koleksi pertama yang aku ingin taip semula adalah bertajuk “Mutiara Cinta”.  Tak ingat ianya di tulis pada tahun berapa, tapi rasanya pada tahun 2000, ketika itu aku masih menggunakan email achu_81@hotmail.com. Sekarang email tu dah tak valid. Kalau validpun, ownernya dah berubah.  

Sekarang aku hanya mampu menaip cerpen-cerpen yang telah aku tulis, tetapi aku sudah tidak mampu menghasilkan karya yang terbaru. Ternyata bakat yang ada telah tumpul, mungkin telah lama tidak diasah. Sebenarnya, keinginan dan idea untuk menulis akan muncul bila kita banyak membaca. 

Oklah, Jom meneruskan pembacaan anda pada penulisanku tika zaman muda dahulu. Jangan terperanjat, watak di kebanyakkan cerpen aku akan digunakan nama Wardah, sebab dulu aku suka nama Al-Wardah. Sehingga bila melahirkan anak perempuan, aku telah menamakannya dengan nama kegemaranku suatu tika tu. Tapi lain sikit, bukan Al-Wardah tetapi Wardah Nur Nazahah.  

*                                                             *                                                             *

~MUTIARA CINTA~
Kehidupan di dunia ini hanyalah satu yang sementara. Kita sebagai manusia hanyalah pelakon yang memegang watak-watak yang telah ditetapkan, manakala dunia ini adalah pentasnya.  Walaupun begitu, dalam meniti kehidupan ini, ianya memerlukan sebuah pengorbanan dan pengertian.  Apakah bentuk pengorbanan yang perlu dilakukan, dan apakah yang dikatakan dengan erti pengertian?!?...

Aku segera bangkit dari tidur setelah terdengar azan Subuh berkumandang di ruang udara. Haiyaa’lalfalah ‘marilah menuju kejayaan’ .. ‘Assolatuhairumminannaum…’  “Sembahyang itu lebih baik dari tidur…”.  Aku mula melangkah untuk mengambil wudhuk apabila mendengar seruan itu.  Sebagai seorang Islam, aku berpegang teguh kepada seruan agama itu sebagai asa dalam prinsip kehidupanku.

Di luar, suasana semakin cerah.  Mentari pagi mula bersinar ceria.  Tetapi, apakah aku akan turut ceria seindah mentari itu?.  Hatiku cukup gusar, mengapakah sejak semalam, fikiranku hanya teringatkan Azli, lelaki yang bakal bergelar peguam muda tidak lama lagi.

“Apakah aku masih menyintai lelaki itu lagi?!?”  detik hatiku sendirian.  Entahlah, aku kurang pasti.  Setelah hampir empat tahun aku cuba melupakannya, namun apa yang pasti.. aku masih gagal melontarnya jauh-jauh dari sudut hati ini.  

Azli, lelaki yang mula-mula sekali mengenalkan aku apa itu ertinya rindu, dan apa pula yang dikatakan cinta?.  Malah dia juga lelaki pertama yang kucintai.  Sayangnya, cinta yang ku semai selama ini tidak pula ku miliki akhirnya.  Dia tidak pernah menghargaiku. 

“Azli…” bibirku mula membisikkan namanya.

“Azli, aku sayangkan kau.. kembalilah padaku, sayang” setitik air jernih menitis di pipi.  Tuhan, tabahkanlah hati hambamu ini – Doaku memohon pada Ilahi agar diberi kekuatan dalam meniti liku kehidupan ini.

*                                                             *                                                             *

“Lupakan saja lelaki itu!” Bentak Aika dengan geram.  Aku tergamam mendengar ungkapan kata dari mulut perempuan itu. Apakah tindakan sedemikian yang sepatutnya diberikan padaku?.  Apakah itu tanggungjawab dia sebagai seorang sahabat?.  Dikala aku memerlukan seseorang untukku luahkan tentang jiwaku yang terseksa kerana lelaki itu, dia pula memarahiku dan menyuruhku melupakan lelaki itu.  Apakah itu tindakan yang benar?. Tapi jika ia benar, apakah aku mampu untuk melupakan Azli?

                Aika kemudian memandang tepat ke wajahku.  Aku tunduk.  Perlahan-lahan dia mula menghampiriku.  Mungkin dia sedar bahawa aku terkecil hati dengan kata-katanya.  

                “Wardah…”panggilnya lembut sambil memegang perlahan bahuku.

                “Dengar dulu penjelasanku.  Aku bukannya marah atau benci engkau ingin menyintai Azli tapi hakikatnya Azli sudah begitu jauh dengan kau.  Dia dah terlalu jauh, Wardah. Mungkin kini dia sudah melupakanmu.”  Aku mengetap bibir mendengar butir kata yang keluar dari bibir Aika.

                “Lupakan saja dia.  Kenangan kamu bersama dia sudah pudar, sudah berlalu.  Hampir empat tahun yang lalu.  Dia tidak pernah lagi mengendahkan kau, jadi mengapa perlu kau menyeksa jiwa kau dengan penantian yang tak berbalas?” Perlahan, Aika menasihatiku.  Airmata ini sudah tidak dapat ku tahan.  Hatiku terlalu sebak.

                “Tapi Aika, aku terlalu menyintainya!. Selama empat tahun, aku menjadi perindu yang sepi… dengan harapan dia akan kembali menjadi milikku” Segera ku cuba membendung airmata yang semakin mengalir laju.  Entahlah, aku pun tidak tahu mengapa kini, aku begitu lemah.  Mungkinkah kerana aku benar-benar kecewa dengan apa yang berlaku antara hubungan aku dan Azli?. Mengapa mesti berlakunya perpisahan antara aku dan dia?!? Mengapa?!?.. Mengapa?!?

                Allah Huakbar!, Allah Huakbar!.. Allah Maha Besar.  Wahai Wardah, terimalah hakikat perpisahanmu dengan Azli.

                “tidakkkk!!!” jerit hati kecilku sendirian.  “Wardah, tidakkah kau percaya pada kekuasaan tuhan?, tidakkah kau beriman kepada Qada dan Qadar?”.  Tiba-tiba terdengar suara halus membisik-bisik di telingaku. Suara siapakah itu?

                “Tidakkah kau percaya pada kekuasaan tuhan?”

                “Tidakkah kau beriman kepada Qada dan Qadar?” Suara naluriku membisik lagi.

                “astafirullah ala’zim” segera aku beristifar kepada Tuhan yang satu.  Aku cuba untuk menerima kenyataan dengan redha.  Aku tahu, segala-galanya adalah suratan Ilahi.  Kita hanyalah merancang, tetapi tuhan yang menentukan.

                “Janganlah engkau terlalu menurut perasaan Wardah.  Janganlah kau biarkan dirimu terpenjara di dalam dunia yang kau cipta sendiri”  Aika berkata lagi.  Aku senyap mendengar kata-katanya.

                “Buat apalah kau hidup di dalam kenangan.  Biarkanlah kisah silam itu berlalu, terkubur bersama serpihan cinta kamu berdua.  Sesungguhnya semalam adalah kenangan, hari ini adalah kenyataan dan esok adalah……………?”  Aika tidak pula menghabiskan butir bicaranya itu.  Dia segera merenung jam ditangannya.  

                “Eh, dah hampir ke pukul lima petang.  Aku dah janji nak jumpa Fariz di CafĂ©’.  Okeylah. Aku rasa sekarang ni, kau pergilah rehatkan diri.  Jangan fikirkan sangat benda-benda yang boleh mengganggu emosi kau tu”.  Aku mengangguk lemah mendengar nasihat Aika itu.
               “Hope a new day is a new beginning” katanya sebelum berlalu pergi.  Aku mengekori Aika dengan pandangan mataku sahaja. 

*                                                             *                                                             *

                Cinta pertama cukup memberikan kesan mendalam padaku.  Penangan cinta Azli begitu hebat pada diri ini.  Aku percaya, jodoh pertemuan itu di tangan tuhan.  Tapi kita perlu berusaha untuk mendapatkan apa yang terbaik untuk diri kita.  Sesungguhnya hadis sendiri menyatakan bahawa “Allah tidak akan mengubah nasib seseorang itu melainkan dia cuba untuk mengubah nasib dirinya sendiri”.  Ini bermakna, berusaha itu adalah perlu.  Tapi kalau dah berusaha pun tak berjaya juga?.  Itu terserahlah kepada Qada dan Qadar Ilahi.
                Pagi ini aku ada perbincangan dengan ahli kumpulan pasal tapak rancangan.  Aku segera memecut kereta menuju ke Bandar Metropolitan.  Destinasi pengajianku sememangnya   terletak di tengah-tengah kota konkrit itu.  Setelah hampir satu jam memandu, akhirnya aku selamat sampai ke Fakulti.  Sampai sahaja ke tempat yang dijanjikan, kelibat Zarul menjadi santapan mataku di awal pagi.  Pemuda berkulit kuning langsat itu tersenyum kearah ku.
                “Hai Zar” Sapaku.
                “Hai Wardah. Awal kau datang pagi ini?” Berkerut kening aku mendengar kata Zarul itu.
                “Yelah,biasanya kalau ada kelas, engkaulah minah yang paling lambat sekali datang ke kelas. Tapi hari ini, tak ada kelaspun.. kau boleh hadir cepat” sengaja Zarul memperliku.
                “Aku lepuk kau nanti!. Jangan nak banyak songel yek!” marahku bila dikatakan sedemikian.  Zarul hanya tersingai sahaja melihat reaksi aku itu.
                Setelah semua ahli kumpulan sudah hadir, perbincangan pun dilaksanakan.  Sedikit sebanyak, mengisi masa lapang dengan kawan-kawan boleh membuatkan aku terlupa seketika pada masalah aku dengan Azli.
                “Wardah..boleh aku Tanya kau sesuatu?” tiba-tiba Zarul meminta keizinan untuk mengemukakan pertanyaan sewaktu dia menumpang keretaku untuk pulang ke rumah sewanya di Bukit Jalil.
                “emmm… apa dia?” Soalku kembali pada dia.
                “Kau dah ada ‘someone special’ ke?” Tanya zarul.
      “Hahahahaha…”Tergelak besar aku mendengar pertanyaan itu.  
                                                           
                “Soalan bangang apa yang kau cuba berikan pada aku ni Zar?” Selamb saja aku menyoalnya kembali.
                “Hish… aku menanya sahaja. Tak sporting langsung minah kepoh ni la!” Balas Zarul pula. Mungkin agak bengang bila aku tertawakan soalannya itu.  Lebuhraya KESAS pada ketika ini tidaklah terlalu sibuk.  Jadi lalulintasnya bergerak licin tanpa adanya traffic jam.
                “Kenapa?.. Kalau aku tak ada kekasih, kau nak jadi kekasih aku ke?” aku pula mengutarakan soalan maut untuk Zarul.  Kelihatan Zarul tersenyap seketika.  Errrkk.. kenapa mulut aku mudah sahaja mengungkap kata sebegitu.
                Kereta yang kupandu sudah mula masuk ke kawasan perumahan Zarul.
                “Tuan Besar…. Dah sampai. Tak reti-reti nak turun?!?” Usikku.  Zarul seakan tersentak seketika.  “Beranganlah tu, sampai terkejut...” Bisik hatiku. Zarul tersenyum.
                “Terima kasihlah buah hati, pengarang jantung….” Ucapnya. Aikkk? Dah buang tebiat ke lelaki ini. Baru aku Tanya satu soalan feeling, dia mula berbahasa bunga-bunga.  Pelik-pelik. Detik hatiku.  Aku hanya membalas senyuman, kemudian segera meninggalkan Zarul keseorangan di situ.
*                                                             *                                                             *
                Fikiranku mula menerawang jauh mengingati lelaki yang tak pernah luput dalam hati ini.  Akupun tak tahu mengapa dirinya begitu kuat bertahan dan tersemat kemas di sudut hati ini.  Telah ku cuba membenci dirinya, namun apa yang berlaku, kerinduan itu semakin menjadi. Aku akui yang aku tidak dapat menipu diri sendiri bahawa sebenarnya, aku masih menyintai Azli. Cinta aku untuk Azli masih segar, cinta hati ini masih untuk Azli.
                Memori pertemuan bersama Azli empat tahun yang lalu tiba-tiba muncul kembali menghangatkan suasana malam yang dingin ketika itu.  Langit semakin gelap. Angin mula bertiup kencang, sesekali disinari dengan cahaya petir  yang menunjukkan hujan bakal membasahi bumi Allah ini.
                Aku capai sekeping gambar berpakaian sekolah yang terletak di dalam diariku.  Gambar berkumpulan ketika aku menghadiri satu taklimat ‘Interaksi Bersama Siswa-Siswi 97’.  Dan terlihat olehku seorang pemuda kacukan melayu-kemboja disisiku di dalam gambar tersebut.  Lantas jari-jemari ini menyentuh lembut ke wajah lelaki itu di gambar itu.
                “Sayang, mengapa kau persiakan cinta aku?” Bisikku lembut.
                Bagiku bukanlah mudah untuk meminati seseorng apatah lagi untuk jatuh cinta.  Tapi tanggal 25 Oktober 1997 yang lalu telah merubah segala-galanya dalam kehidunpanku.  Pada tarikh itulah, bermulanya perkenalan aku dengan seorang insane yang amat aku sayangi, iaitu Mohd Azli, insane cinta pertamaku.  Ketika di majlis taklimat inilah, aku mengenali Azli.  Di awal pertemuan lagi, aku sudah tertarik dengan sifatnya yang baik, bijak dan Nampak ‘cool’.  Ditambah pula dengan penganugerahan tuhan ke atas dirinya.
                Walaupun dia agak pendiam, namun dia memiliki wajah yang menawan dan pasti boleh menggugat hati wanita yang melihatnya.  Apakah aku juga tergolong seperti itu?, begitu lemah sekali… tak sangka, bahawa aku akan jatuh hati padanya, dan Azlilah satu-satunya lelaki yang Berjaya mencairkan keegoanku.
                “aku rindukan Azli… aku rindukan bicaranya, aku rindukan kasih sayangnya dan aku rindukan renungan matnya” hatiku mendesak, meminta ingin dicintai oleh lelaki yang bergelar siswa Universiti di Gombak sana.
Apakah dia masih menyayangi aku?ataupun kini dia sudahpun punya penganti?.  Hatiku takut memikirkan tentang cintanya.  Mungkinkah cintanya kini sudah beralih arah? Setelah hampir empat tahun dia menyepikan diri…
                “tapi mengapa Azli? Mengapa kau buat aku begini?.  Apa salah aku padamu sayang?.  Mengapa kau pergi dariku tanpa pesan? Sifat semulajadimu yang pendiam bukan alasan untuk kau pergi dengan cara menyepi diri. You are professionalism! Bukan sebegini caranya…” hatiku terus berbisik, dengan persoalan demi persoalan yang bertandang.

                Telefon di ruang tamu berbunyi nyaring, segera mematikan lamunanku.  Aku segera berlari-lari anak untuk mengangkatnya.
                “Hello”
                “Hello Wardah.. Zarul nie” Kedengaran satu suara yang cukup aku kenal.
                “errkk.. boleh kita berjumpa tak sebentar lagi?.  Aku ada hal sikit nak beritahu pada kau” sambungnya.
                “Hal apa?” Tanyaku pula.  Jarang sungguh Zarul ingin mengangguku di malam-malam sebegini.
                “Adalah.. Boleh tak?” Tanya lagi. Kelihatan terlalu mendesak sahaja nada suaranya.
                “Tapi Zar.. hari nak hujanlah..” kataku.  Saja cari alasan.  Sebenarnya aku malas nak keluar di waktu malam.
                “tak apalah.  Kalau macam tu , aku datang rumah kau naik motor”  Katanya lagi.  Dia masih berusaha untuk menemuiku malam ini.
                “Eh.. erkk..Tak payahlah.  Nak hujan nie. Biarlah aku datang.  Kau tunggu tempat biasa yek!” kataku.  Akhirnya aku mengalah juga untuk bertemunya.
                “Ok.. thanks” klik.. Line telefon diputuskan.  Aku buntu…

*                                                             *                                                             *
                Tuhan… dugaan apakah ini?  Aku menjadi serba salah.  Antara persahabatan ataupun keinginan diri sendiri.  Puas ku renung cincin di jari maniskuini.  Cincin ini sungguh berharga, tapi jika aku terus memakainya, apakah ia akan memberikan satu kebahagiaan buat diriku?.
                Aku telah nekad.  Keputusan yang dibuat ini adalah satu keputusan yang muktamad.  Aku tidak boleh menipu diri ini, dan aku sendiri tahu apa yang aku inginkan dalam hidup ini.  Biarlah, andainya ditakdirkan keputusan yang aku pilih ini adalah salah dan merupakan satu keputusan yang bodoh, aku akur.. Biarlah andainya yang aku kejar tak dapat, dan yang dikendong keciciran.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segalanya.  Setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya.
                Ingatanku masih kuat mengingati Azli.
                “Sayang, aku telah cuba untuk memiliki hatimu. Tapi ternyata kau terlalu ego..” kataku perlahan.
                Di luar, hujan telah turun dengan lebatnya, mencurah-curah membasahi bumi.  Langit juga sememangnya sangat mendung, seolah memahami kedukaan hati ini.  Aku segera mencoretkan sesuatu untuk Azli.  Dan pena di tangan ini pantas menari di atas kepingan kertas berjalur biru itu.
                Assalammualaikum.
            Di kejauhan ini, ku cuba coretkan sesuatu buatmu Azli yang aku kenali.  Ku harapkan bingkisan coretan ini tidaklah menganggu situasimu di sana nanti.
            Azli, sudah hampir empat tahun aku duduk di dalam penuh tanda Tanya.  Persoalan demi persoalan sering hadir dibenakku.  Sehingga kini aku masih tertanya-tanya, apakah akhirnya kisah cinta kita dahulu?.  Mengapa kau membiarkan aku ternanti-nanti jawapan darimu, sayang?.  Azli, empat tahun bukanlah satu jangkamasa yang singkat.  Malahan di dalam jangka waktu itu, pelbagai perkara boleh terjadi.  Segala-galanya boleh berubah dalam sekelip mata.  Mungkinkah hatimu kini bukan lagi untukku?.  Malahan berjauhan antara kita bias menguburkan segala memori silam kita dahulu, seraya meragut juga kebahagiaan yang aku impikan sejak pertama kali mengenalimu.
            Azli, aku memerlukan pengakuan ikhlas darimu.  Andainya kau sudah membenciku.. lafazkanlah.  Walaupun ku tahu jawapan itu bisa menghancurkan hati ini.  Namun itu semua adalah lebih baik daripada aku terus menanti dan menjadi perindu yang sepi.  Usahlah kau simpati padaku, kerana akhirnya  nanti.. hakikat sebenar pasti akan terbukti.  
            Azli, maafkan ku kerana tidak dapat melupakan mu.  Telah ku cuba untuk melontar kau jauh-jauh dari hati ini, namun  bayanganmu tetap menghantuiku.  Maafkan aku sayang, sesungguhnya aku amat menyintaimu. Cintaku hanya untukmu Azli. 
            Cinta ini ibarat mutiara.  Ianya terlalu berharga.  Dan tak mungkin ianya untuk insan lain.  Andainya ditakdirkan mutiara cinta ini tidak dapat ku berikan padamu, biarlah ianya ku abadikan di dalam tiram yang terletak kemas di dasar lautan. Biarlah ianya terkubur di situ.  Hanya keadaan saja yang akan menentukan bilakah masanya tiram itu akan kembali terbuka.  Dan yang pasti, mutiara cinta ini hanya untukmu, sayangku… Azli.
  *                                                           *                                                             *
                Air mata ini pantas mengalir laju.  Ku lipat kemas surat itu, dank u masukkan rapi ke dalam sampul surat.  Cincin pemberian Zarul semalam masih setia dijariku.  Kata-kata Zarul semalam masih tergiang-giang ditelingaku.
                “Andainya kau sudi menjadi permaisuri hatiku, pakailah cincin ini di jarimu”
                Aku tidak dapat menahan sebak di hati. Aku sudah buat keputusan muktamad.. demi menentukan jalan kehidupan mana yang akan aku pilih.
                “Maafkan aku Zarul, aku tidak dapat menerima cintamu..”Cincin pemberian Zarul ku buka dari menyarungnya di jariku.  Esok aku akan memulangkan kembali cincin ini kepadanya. Demi cinta aku untuk Azli.. bentuk pengorbanan sebegini terpaksa aku lakukan. Aku harap kalian mengerti..
    *                                                         *                                                             *
Gambar sekadar hiasan: Wardah & Zarul

Gambar sekadar hiasan: Azli
~Ok, sebenarnya aku baru je menyiapkan typing penulisan ini pada hari ini, UiTM dah lama dah masuk belajar.. dan nak hampir cuti kembali. Hehehe.. ~.